Kenyataan Berbaur Kebencian, Satu Ancaman Serius Perlu Ditangani Segera

Oleh: Syahirah Harish

PUTRAJAYA: Satu kajian yang dilakukan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) mendedahkan bahawa kenyataan berbaur kebencian di media sosial merupakan ancaman serius yang perlu diberi perhatian segera.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perpaduan Negara, hari ini, kajian tersebut masih belum menemukan kajian khusus yang mengenal pasti tahap kefahaman, pengaruh dan kesan kenyataan berbaur kebencian dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Kajian itu telah dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Menteri Perpaduan Negara bersama Exco-Exco Perpaduan Negeri dan Exco-Exco Hal Ehwal Agama Selain Islam (MExUnity), dengan tujuan mengisi kelompangan yang wujud.

Di mana, fokus utama adalah pada kenyataan kebencian di Malaysia, tanpa menyentuh isu kebebasan bersuara.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, menekankan betapa pentingnya kenyataan kebencian di media sosial di mana merupakan ancaman serius yang memerlukan perhatian semua pihak.

“Kenyataan berbaur kebencian di media sosial adalah suatu bahana serius yang memerlukan perhatian bersama dari segenap lapisan masyarakat.

“Dengan strategi dan langkah yang komprehensif, serta pelaksanaan yang efektif, masyarakat multi-etnik mampu memperkasa keharmonian sosial dan mengurangkan pengaruh negatif dari kenyataan berbaur kebencian,” katanya.

Oleh itu, katanya, strategi menyekat penyebaran kenyataan seumpama itu perlu dilakukan segera bagi memastikan keharmonian sosial terus dipertahankan.

Aaron Ago turut menyeru semua pihak, terutama exco negeri untuk menyokong usaha-usaha memperkukuh perpaduan dan membina keharmonian dalam negara.

“Keharmonian dalam kalangan masyarakat bukan sahaja membentuk perpaduan, tetapi juga memastikan kestabilan sosial yang amat diperlukan.

“Dalam suasana yang aman, ekonomi dapat berkembang dan taraf hidup rakyat dapat ditingkatkan,” ujarnya.