Oleh: Syahirah
KUALA LUMPUR: Pemilihan Parti Bersatu pada Sabtu ini dijangka menjadi medan pertempuran sengit antara dua tokoh utama parti itu, iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Azmin Ali.
Menurut bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman, beliau mendakwa persaingan ini telah dijangka sejak dua tahun yang lalu, dengan Hamzah kini makin mengukuhkan pengaruhnya dalam parti.
Muhammad Faiz memaklumkan pada awalnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti lebih banyak menyokong kem Azmin.
Namun, perkembangan semasa dan prestasi Bersatu dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) menyebabkan kem Azmin terpaksa mengalah, dengan Azmin memilih untuk tidak bertanding jawatan di peringkat pusat.
“Ini memberikan laluan kepada Hamzah untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden, satu langkah yang mencerminkan peningkatan populariti dan pengaruh beliau dalam parti,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Khamis.
Dakwanya, persaingan dua kem ini jelas pada peringkat Armada (sayap pemuda), di mana kem Azmin mencalonkan ADUN Gombak Setia, Hilman Idham, untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Bersatu.
Sementara itu, kem Hamzah menamakan Akmal Zahin Zainal Zahir, Pengerusi Tetap Pemuda Bersatu, sebagai calon yang akan menentang Hilman.
Untuk rekod, pemilihan Bersatu mengundang perhatian berkenaan hala tuju parti itu selepas beberapa kali Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan untuk tidak mengekalkan jawatan.
Bagaimanapun disebabkan untuk mengelak daripada pertembungan yang dibimbangi menjejaskan Bersatu, beliau kembali mempertahankan jawatan Presiden.