Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Amerika Syarikat (AS) menggunakan pengaruhnya untuk menghentikan kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin.
Beliau berkata peranan AS membabitkan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) UNSC 2735 dihargai namun dalam masa sama diharapkan ia boleh membuatkan Israel mematuhi peraturan penggunaan senjata ke atas negara Palestin.
“Malaysia turut menyatakan penghargaan atas peranan penting AS membabitkan Resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) 2735 yang terkait dengan usul gencatan senjata dalam konflik Palestin-Israel.
“Pada masa yang sama, saya turut menggesa AS menggunakan pengaruhnya untuk memastikan resolusi ini dapat segera dilaksanakan dan dipatuhi oleh Israel,” ujarnya di Facebook hari ini.
Gesaan itu dibuat ketika Anwar bertemu Blinken pada hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Vientiane, Laos.
Pertemuan yang berlangsung lebih 40 minit itu juga digunakan untuk bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menyentuh kepentingan Malaysia dan AS.
Sebagai info, Israel telah menyerang Palestin lebih daripada setahun dengan jumlah kematian melebihi 42,000 orang termasuk bayi, kanak-kanak, wanita dan orang tua di Gaza dan Tebing Barat.
Israel juga turut menyerang beberapa kawasan lain seperti Beirut, Lubnan yang telah menyebabkan lebih 2,000 kematian.