Oleh: Shafira Aziz
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu menekankan pentingnya solidariti dan sokongan berterusan terhadap rakyat Palestin dan Lubnan.
Dalam ucapannya di Himpunan Mega ‘Setahun Taufan Al Aqsa’ pada Jumaat, beliau menyuarakan kebimbangannya terhadap kezaliman yang semakin berleluasa di Palestin dan Lubnan, dengan masjid-masjid dibom dan umat Islam sukar menunaikan solat dengan aman.
“Saudara-saudara kita di Palestin tidak boleh solat di Masjidil Aqsa. Mereka hanya sembahyang di celah runtuhan batu, sedangkan kita di sini solat dengan aman,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa ironinya, sokongan lantang terhadap Palestin datang dari negara-negara Barat, di mana protes besar-besaran di New York, London dan Berlin diadakan bagi mengecam tindakan Israel.
“Masyarakat Barat, termasuk orang Kristian, bangkit menentang kezaliman Zionis Israel, sedangkan umat Islam di negara-negara Arab kurang peduli,” tambahnya.
Mohamad Sabu juga mengkritik peranan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menurutnya hanya menjadi ‘tempat pertandingan syarahan’ tanpa tindakan bermakna.
Dalam pada itu, beliau menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk mencari formula baharu dalam menegakkan keadilan global.
“PBB tidak berguna lagi kerana telah dinodai oleh kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Britain yang melindungi Israel,” tegasnya.
Mohamad Sabu turut berkongsi harapan bahawa kebebasan Palestin semakin hampir, dengan sokongan masyarakat antarabangsa, khususnya di Eropah.
“Sentiasa ada manusia yang bersedia untuk mati di jalan Allah. Insha-Allah, Palestin akan dibebaskan,” tegasnya.
Sementara itu di laman Facebook miliknya, beliau mengulangi seruannya agar rakyat Malaysia terus memberikan sokongan dalam apa jua bentuk.
“Teruskan memberi bantuan, sama ada melalui sumbangan, doa atau aktiviti kemanusiaan lain dalam memperjuangkan hak dan kebebasan rakyat Palestin,” ujarnya.