PM tegaskan sokongan Malaysia isu global di Sidang EAS


Oleh: Shafira Aziz

VIENTIANE: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia dan negara-negara ahli Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dalam memastikan rantau tersebut kekal aman, stabil dan bebas daripada konflik, khususnya berpunca daripada pergeseran kuasa besar.

Beliau juga menekankan pentingnya ASEAN memainkan peranan utama dalam menyelesaikan krisis di Myanmar dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan konkrit, bukan sekadar retorik.

“Saya menggunakan ruang ini untuk mempertegas komitmen Malaysia dan rakan-rakan negara ASEAN terhadap rantau yang aman dan stabil serta bebas daripada konflik,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam ucapannya, Anwar turut memberi perhatian terhadap keperluan mematuhi undang-undang antarabangsa dalam menangani pertikaian, terutamanya melalui instrumen dialog dan kerangka undang-undang seperti UNCLOS 1982.

Hal tersebut penting bagi memastikan pertikaian diselesaikan dengan cara yang adil dan sah di sisi undang-undang.

Anwar juga tidak mengabaikan isu hak asasi manusia yang melibatkan Palestin dan menggesa masyarakat antarabangsa untuk bersuara menuntut Israel menghentikan pelanggaran undang-undang antarabangsa di Gaza.

“Saya mengulangi desakan supaya masyarakat antarabangsa bersuara menuntut Israel menghentikan pelanggaran undang-undang antarabangsa dan hak asasi yang berterusan di Gaza,” tambahnya.

Malaysia juga tidak memandang ringan terhadap krisis di Ukraine, dengan Anwar menolak sebarang bentuk keganasan dan pelanggaran integriti wilayah.

Beliau menyeru semua pihak mencari penyelesaian melalui dialog dan diplomasi, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Malaysia, yang bakal mempengerusikan ASEAN pada tahun hadapan, turut menyeru negara-negara anggota EAS untuk menjulang semangat kebersamaan dan melaksanakan Pelan Tindakan EAS 2024-2028.

“Tatkala mempengerusikan ASEAN tahun depan, Malaysia menyeru rakan-rakan anggota EAS untuk menjulang kebersamaan,” ujarnya.

Anwar berkata demikian ketika menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-19 di Laos, yang membabitkan perbincangan dalam kalangan 18 negara anggota EAS.

Anda Mungkin Berminat