Suami pemandu SUV mohon maaf tragedi pelajar UiTM Dungun

DUNGUN: Suami kepada pemandu utiliti sukan (SUV) yang terlibat dalam kemalangan tragis di hadapan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Dungun memohon maaf secara terbuka kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden tersebut.

Memetik Harian Metro, Azhar Ahmad, 53 berkata demikian merujuk kemalangan mengorbankan tiga penuntut universiti dan seorang lagi cedera.

“Saya menangis dan sangat sedih melihat kemalangan itu. Saya mewakili isteri ingin memohon maaf dari hujung rambut hingga ke hujung kaki kepada semua ahli keluarga pelajar terbabit,” katanya pada Jumaat.

Azhar mengakui bahawa sejak awal kejadian, niatnya adalah untuk berjumpa dengan ahli keluarga mangsa dan meminta maaf, tetapi tindakan itu ditangguhkan atas nasihat pihak berkuasa.

Menurutnya, isterinya yang berusia 49 tahun adalah seorang wanita yang baik dan penyayang sebelum mengalami masalah kesihatan serta gangguan mental.

“Ketika mengandung anak keempat, 10 tahun lalu, doktor mengesahkan isteri mengandung di luar rahim dan terpaksa menggugurkan kandungan itu.

“Ketika mendapatkan rawatan di hospital di Kuala Terengganu, dia koma selama empat hari dan kehilangan banyak darah.

“Setelah sedar, isteri mula mengalami gangguan dan sering berhalusinasi serta bercakap sendirian,” katanya yang telah berkahwin selama 30 tahun.

Azhar menyatakan bahawa walaupun isterinya dalam keadaan tersebut, wanita itu tetap bertanggungjawab dalam urusan rumah tangga.

“Dia mengemas rumah, memasak, dan tidak suka jika rumah bersepah. Dia juga penyayang dengan anak cucu, sering memasak dan membeli makanan untuk mereka,” ujarnya.

Menurut Azhar, pada malam kejadian, dia sedang menunaikan solat maghrib dan isyak bersama anak bongsu ketika isterinya keluar rumah memandu kereta.

Jelasnya, dia terkejut apabila mendapati isterinya yang sebelumnya menonton televisyen sudah tiada di ruang tamu. Pintu pagar rumah terbuka dan dua pasang kasut serta sehelai pakaian isterinya juga tidak kelihatan.

“Dia tidak pernah keluar malam. Jika keluar, mesti ditemani saya dan anak-anak. Dia hanya memandu pada waktu siang dan biasa minum di kedai tidak jauh dari kampus,” katanya.

Azhar segera bergegas ke lokasi kemalangan bersama anak bongsunya setelah menerima panggilan rakan yang memaklumkan bahawa SUV mereka terlibat dalam kemalangan.

“Terkejut saya melihat mayat pelajar di atas jalan raya. Saya ingat seorang mangsa, tetapi rupanya tiga orang.

“Saya cuba mencari ahli keluarga mangsa di tempat kejadian, tetapi semua orang adalah dari luar Dungun. Kemudian, saya diarahkan oleh polis untuk ke balai bagi memberikan keterangan,” tambahnya.

Azhar juga menyatakan bahawa dia cuba bertemu keluarga mangsa di Bilik Forensik Hospital Dungun, tetapi dinasihatkan untuk tidak berbuat demikian bagi mengelakkan kekecohan.

“Saya sangat kesal dengan kejadian yang berlaku dan sudah menyorokkan kunci kenderaan sebelum insiden ini.

“Tiada siapa mahu kejadian sebegini terjadi, saya sudah sorok kunci kereta tetapi perkara tetap berlaku,” ujarnya, berharap pihak pengurusan UiTM membantunya untuk bertemu dengan keluarga penuntut terbabit agar dapat memohon maaf secara langsung.