PETALING JAYA: Ura-ura pemberhentian pekerja secara besar-besaran di Malaysia akhirnya disahkan oleh platform media sosial TikTok.
Platform itu mengesahkan laporan Malaysia Bangkit semalam dan menyatakan ia antara langkah pengurangan tenaga kerja global.
Memetik FMT, jurucakap syarikat itu bagaimanapun tidak dapat mendedahkan jumlah tepat pekerja yang terjejas oleh pengurangan ini.
“Kami tidak dapat memberikan angka yang tepat pada masa ini kerana proses peraturan pekerjaan tempatan yang berbeza di seluruh dunia.
“Kami menjangkakan beberapa ratus orang akan terjejas secara global,” katanya.
Beliau turut menambah keputusan itu selaras dengan usaha berterusan TikTok untuk meningkatkan keupayaan penyederhanaan kandungannya.
“Kami menjangka untuk melabur AS$2 bilion secara global dalam aspek kepercayaan dan keselamatan pada tahun 2024 sahaja dan kami terus memperbaiki keberkesanan usaha kami, dengan 80 peratus kandungan yang melanggar peraturan kini dikeluarkan oleh teknologi automatik,” kata jurucakap tersebut.
Pengesahan ini menyusul laporan semalam yang memetik sumber mengatakan TikTok, yang dimiliki oleh firma China ByteDance, telah memberhentikan ratusan pekerja di cawangannya di Malaysia.
Pemberhentian pekerja di Malaysia juga berlaku selepas spekulasi sejak awal tahun ini bahawa TikTok merancang mengurangkan sebahagian besar tenaga kerja globalnya dalam operasi dan pemasaran.
Pada bulan Jun, Bloomberg melaporkan ByteDance memberhentikan 450 kakitangan di pejabatnya di Indonesia.