Dakwa cuti Sabtu Ahad tinggalan penjajah, PAS jangan ‘hipokrit’ – Puad


Oleh: Haikal Tajuddin

HIPOKRIT! Itu kata-kata Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi kepada PAS Johor kerana menganggap cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad sebagai peninggalan penjajah.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, parti itu turut mengamalkan tinggalan penjajah dan semua itu tidak pernah menyekat perkembangan agama Islam di Malaysia.

“Banyak tinggalan penjajah yang PAS sendiri terima dan guna pakai terutama dalam sistem politik dan pentadbiran negara.

“Perlembagaan negara juga adalah peninggalan penjajah (Lord Reid), tetapi itu tidak sama sekali menyekat syiar dan syariat Islam untuk berkembang pesat,” ujarnya.

Tambahnya lagi, sejak dahulu lagi umat Islam menjalani puasa pada hari bekerja dan tidak sama sekali menjejaskan akidah seseorang.

Namun begitu, beliau turut mendakwa, PAS menggunakan agama sebagai alasan menghalalkan cara demi mengukuh kedudukan mereka dalam pemerintahan.

“Apa pun peraturan selagi maslahah Islam terpelihara maka jangan putar belit. Apabila PAS sertai pilihanraya, calon kena bayar wang pertaruhan. Apakah itu judi?

“PAS kata boleh demi maslahah untuk dapat kuasa. Tanpa kuasa Islam tidak memerintah,” katanya.

Sebelum ini, Tunku Mahkota Ismail dilaporkan bertitah, cuti hujung minggu di Johor yang ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad adalah kehendak rakyat negeri ini untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga dan anak-anak.

Titah baginda, penukaran cuti hujung minggu itu juga bakal membawa kesan ekonomi yang positif, seiring dengan pelaksanaan projek pembangunan yang memberi manfaat di Johor.

Namun begitu, PAS Johor beranggapan bahawa cuti hujung minggu di negeri Johor yang ditukar kepada hari Sabtu dan Ahad bermula 1 Jan 2025 seperti yang diumumkan oleh Pemangku Sultan Johor adalah tindakan yang tidak sewajarnya dilakukan dan menganggap ia sebagai ‘peninggalan penjajah’.

Anda Mungkin Berminat