Oleh: Haikal Tajuddin
KRU – satu nama yang berjaya merevolusikan nyanyian ‘hip hop’ sepanjang 30 tahun yang lalu dan kini berita gembira buat peminat trio tiga beradik itu apabila mereka berjanji akan kembali beraksi.
Kejutan itu dibuat setelah Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim melakukan kolaborasi bersama Sony Music Malaysia sebagai inisiatif untuk memberi inspirasi kepada peminat yang baharu.
“Kini setelah lebih 30 tahun berada dalam industri muzik tempatan, mereka kembali membuat kejutan saat mengumumkan kerjasama dengan syarikat gergasi muzik dan rakaman dunia, Sony Music Entertainment Malaysia.
“Kolaborasi ini adalah inisiatif syarikat kami yang percaya dengan kehebatan, komitmen serta kualiti kerja kumpulan KRU sepanjang mereka berada di dalam industri seni sejak beberapa puluh tahun yang lalu,” kata jurucakap Sony Music Entertainment Malaysia.
Kedua-dua pihak itu yakin bahawa dengan kerjasama yang dibuat itu akan membuahkan pelbagai hasil terhadap produk hiburan yang hebat dan luar biasa.
“Dengan komitmen terhadap inovasi dan kualiti, KRU juga berjanji untuk terus berusaha demi mencipta karya yang relevan dan menghiburkan.
“Nantikan aneka perkembangan terbaru yang bakal diumumkan tidak lama lagi,” jelasnya.
KRU ditubuhkan pada 1992 telah mencipta pelbagai lagu hit yang menjadi ikonik di kalangan peminat dengan kombinasi muzik pop, hip-hop, dan R&B.
Kumpulan ini telah mencatatkan kejayaan dalam muzik sehingga berjaya mengeluarkan album-album yang laris di pasaran seperti ‘Generasi’ dan ‘KRU’ serta lagu-lagu popular seperti ‘Awas 1994’, ‘Ohh! La! La! 1996 dan banyak lagi.
Terdahulu, KRU pernah mengambil tindakan untuk membubarkan kumpulannya selepas melakukan konsert terakhir yang berlangsung pada 6 Mei 2018.