PM: ASEAN 2025 bakal terangkul dan mampan


Oleh: Haikal Tajuddin

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui Malaysia akan mengamalkan prinsip keterangkuman dan kemampanan yang sejajar dengan wawasan komuniti ASEAN 2025 bagi melakar perjalanan bersama untuk tempoh dua dekad yang akan datang.

Jelasnya, kedua-dua prinsip tersebut adalah inspirasi bagi mengekalkan kemajuan yang wajib dikongsikan bersama dan memastikan tiada mana-mana negara yang akan ketinggalan.

“Ia menyampaikan harapan kami bahawa langkah yang kami ambil hari ini akan bertahan dalam jangka masa panjang.

“Selari dengan perkara tersebut, ia turut menggariskan keazaman kami mengekalkan masa depan yang lebih kukuh untuk kami bergerak ke hadapan pada setiap masa, tindakan dan keputusan kami akan dipandu oleh prinsip konsensus,” katanya sewaktu di Majlis Penyerahan Pengerusi ASEAN 2025, semalam.

Tambahnya, Malaysia juga turut memberi komitmen dalam membina wilayah yang lebih terbuka, inklusif dan berasaskan peraturan di samping, akan memperluaskan perkongsian dengan negara-negara di bawah ASEAN.

“Perjalanan ASEAN bermula hampir enam dekad yang lalu, diilhamkan oleh visi keamanan, kestabilan dan kemakmuran dan hari ini, ASEAN telah berdiri teguh, bersedia untuk menerima masa depan dengan yakin.

“Masa depan ASEAN mesti termasuk Timor Leste, yang kemasukannya akan mengembangkan ekonomi rantau kita dan menyumbang kepada memenuhi visi besar kita.

“Semasa kami mengukuhkan rantau ini secara dalaman, kami akan turut meneroka dan meluaskan perkongsian ekonomi kami di luar sempadan kami,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat