Hari Sukan Negara 2024: Disambut meriah dengan penyertaan golongan OKU

PUTRAJAYA: Rehlah Watan sempena Sambutan Hari Sukan Negara 2024 yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) telah menyaksikan penyertaan meriah daripada 70 peserta Orang Kurang Upaya (OKU) dan lima pengiring.

Acara itu melibatkan 15 kumpulan yang bersaing dalam tiga kategori iaitu Kumpulan Terbaik, Kumpulan Terpantas, dan Kumpulan Patriotik.

Dalam persaingan yang sengit, Kumpulan Bonnie Bunyau dari Persatuan Orang Kurang Upaya Putrajaya (PROcJAYA) memenangi Kategori Kumpulan Terbaik.

“Kumpulan Balau dari Pusat Latihan Industri dan Pemulihan (PLPP) Bangi dinobatkan sebagai Kumpulan Terpantas, manakala Kumpulan Rentap dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memenangi Kategori Kumpulan Patriotik.

“Pemenang setiap kategori menerima hadiah wang tunai RM500, hamper, dan sijil penyertaan,” kata satu kenyataan oleh Jawatankuasa Media dan Publisiti Rehlah Watan, hari ini.

Program itu merupakan program aktiviti komunikasi bersemuka berkonsepkan ‘explorace’ dan dijadikan sebagai platform bagi meningkatkan semangat kesukanan dan cintakan negara dalam kalangan komuniti OKU.

Sebagai simbolik kepada Sambutan Hari Sukan Negara 2024, Rehlah Watan ini dilaksanakan bagi membuktikan bahawa golongan kurang upaya ini bukanlah golongan yang lemah malah mampu menamatkan persaingan dengan menyahut cabaran dan rintangan sepanjang aktiviti berlangsung.

Program anjuran JAPEN itu turut melibatkan kerjasama strategik dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan beberapa organisasi lain.

Sambutan ini menunjukkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan golongan OKU dapat menyumbang kepada negara dan mendapat penyertaan penuh dalam masyarakat.

“JAPEM menyokong penuh usaha Kerajaan MADANI yang sentiasa komited untuk memastikan golongan kurang upaya di seluruh negara dapat membina kehidupan yang sejahtera, menyumbang kepada negara dalam pelbagai aspek dan mendapat penyertaan penuh dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.