JAIS tutup sekolah terlibat dera, gangguan seksual

Oleh: Kamilia Ali

PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengambil tindakan tegas untuk menutup sekolah-sekolah agama swasta yang terlibat dalam kes penderaan fizikal dan gangguan seksual terhadap pelajar.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad menegaskan bahawa tindakan itu diambil untuk memastikan prinsip mendidik mengikut Islam tidak dicemari oleh perbuatan yang tidak berperikemanusiaan.

“Tidak boleh sama sekali, sistem pendidikan dan kurikulum Islam yang dilaksanakan di sekolah merosakkan prinsip manusiawi dan ihsan atas alasan membentuk sahsiah Islam kepada para pelajar,” katanya.

Kes terbaharu yang tular melibatkan empat pelajar yang hilang dari sebuah sekolah tahfiz dan ditemui di Bukit Jelutong kerana disyaki didera dan menjadi mangsa seksual.

“Jika ia benar berlaku, ia sesuatu yang sangat memalukan, melampau, tidak bertamadun dan terkeluar sama sekali daripada konsep mendidik yang ditetapkan oleh Islam,” tambahnya.

Katanya, JAIS tidak akan teragak-agak menamatkan pendaftaran mana-mana sekolah agama swasta di Negeri Selangor jika didapati terlibat dengan penderaan dan gangguan seksual kepada pelajar atau apa sahaja bentuk perbuatan tidak wajar yang menyanggahi prinsip asas Islam.

“Mengikut Seksyen 15 Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam 1988 Pindaan (2001), JAIS juga akan mengambil tindakan menutup sekolah terlibat mengikut Seksyen 25 enakmen yang sama,” jelasnya.

JAIS turut mengingatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memerhati anak-anak dari semasa ke semasa agar kelainan sikap dan tingkah laku mereka dikesan pada peringkat awal.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat