KUALA LUMPUR: Malaysia mencapai kejayaan cemerlang pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-64, apabila kedua-dua qari dan qariah negara dinobatkan sebagai johan.
Muhammad Husaini Mahmur memenangi kategori qari dengan markah 95.71 peratus, mengungguli peserta lain seperti Abdur Rasheed dari Pakistan (93.59 peratus) dan Wahyu Andi Saputra dari Indonesia (92.09 peratus).
Dalam kategori qariah, Nor Hidayah Abdul Rahman mengumpul markah tertinggi, iaitu 91.76 peratus, diikuti Raihana Ambangala dari Filipina (90.26 peratus) dan Syamimi Assahira dari Indonesia (89.46 peratus).
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengurniakan hadiah kepada pemenang kategori qari, sementara Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori qariah.
Dalam kategori hafazan lelaki, Oubaydullah Boubacar Ango dari Niger muncul johan dengan markah 97.63 peratus, diikuti Ibrahim Sow dari Ivory Coast (97 peratus) dan Aeimiddin Farkhudinov dari Russia (96.88 peratus).
Sementara itu, peserta dari Niger, Habsatou Hamissou Boubacar memenangi kategori hafazan wanita dengan markah 96.13 peratus, diikuti Putri Aminah Mohd Hanif dari Malaysia (94.89 peratus) dan Fathimah Shaya Zahir dari Maldives (94.38 peratus).
Setiap johan kategori Tilawah dan Hafazan membawa pulang wang tunai RM40,000 daripada kerajaan dan kepingan emas bernilai RM12,000 sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) serta hadiah iringan dan sijil.
MTQHA ke-64 anjuran Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur menampilkan 92 peserta dari 71 negara, terdiri daripada 53 peserta tilawah dan 39 peserta hafazan.