100 Pelajar B40 Parlimen Tambun Terima Sumbangan RM500 Dari PM

TAMBUN: Seramai 100 pelajar dari Parlimen Tambun yang akan melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi (IPT) menerima sumbangan peribadi sebanyak RM500 setiap seorang daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Munim sumbangan itu bertujuan meringankan bebanan kos sara hidup keluarga pelajar dari kalangan keluarga B40 agar mereka turut mendapat kualiti pendidikan yang sama seperti pelajar lain.

Muhammad Kamil menyatakan bahawa inisiatif yang diberikan akan dilaksanakan secara berterusan dan akan memberi cetusan motivasi kepada pelajar terbabit untuk meneruskan kecemerlangan di peringkat lebih tinggi.

“Perdana Menteri melalui Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun komited untuk membantu golongan pelajar dengan pelbagai inisiatif yang memfokuskan kepada pembangunan program, kebajikan, dan kesejahteraan mahasiswa di negara ini.

“Sumbangan tersebut menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan golongan B40 tidak ketinggalan dalam mengejar pendidikan tinggi dan mendapat sokongan yang sewajarnya untuk mencapai kejayaan,” katanya.

Dianggarkan lebih 200,000 pelajar akan dan telah mendaftar masuk ke IPTA dan IPTS di seluruh negara bagi sesi akademik 2024/2025.

Perkembangan ini menunjukkan minat yang tinggi dalam kalangan pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi, selaras dengan usaha negara untuk meningkatkan taraf pendidikan dan kemahiran tenaga kerja.

Anda Mungkin Berminat