Malaysia siap pimpin ASEAN 2025 dengan visi inklusif, kelestarian

PETALING JAYA: Malaysia akan memimpin ASEAN dengan bangga sebagai Pengerusi pada tahun 2025, membawa visi yang jelas dan fokus kepada inklusiviti.

Di bawah kepimpinan Malaysia yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ASEAN bertekad memastikan setiap suara didengari, tanpa ada yang tertinggal.

Menerusi satu video di laman media sosialnya, Anwar berkata, kelestarian akan menjadi panduan utama dalam usaha membina masa depan yang lebih baik untuk semua.

“Kepengerusian ini menandakan permulaan perjalanan selama 20 tahun di bawah Visi Komuniti ASEAN 2045.

“Visi ini akan membuka bab baru dalam kerjasama serantau, di mana negara-negara anggota ASEAN akan bangkit bersama untuk membentuk takdir yang dikongsi.

“Selamat Datang ke Malaysia. ‘Welcome to Malaysia’,” katanya sambil meletakkan emoji 10 buah bendera negara-negara ASEAN di akhir kenyataan itu.

Untuk info, negara-negara ASEAN terdiri dari Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Lao PDR, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Pada 11 Oktober lalu sewaktu Majlis Penyerahan Pengerusi ASEAN 2025, Perdana Menteri mengakui Malaysia akan mengamalkan prinsip keterangkuman dan kemampanan yang sejajar dengan wawasan komuniti ASEAN 2025 bagi melakar perjalanan bersama untuk tempoh dua dekad yang akan datang.

Jelas Anwar, kedua-dua prinsip tersebut adalah inspirasi bagi mengekalkan kemajuan yang wajib dikongsikan bersama dan memastikan tiada mana-mana negara yang akan ketinggalan.

“Ia menyampaikan harapan kami bahawa langkah yang kami ambil hari ini akan bertahan dalam jangka masa panjang.

“Selari dengan perkara tersebut, ia turut menggariskan keazaman kami mengekalkan masa depan yang lebih kukuh untuk kami bergerak ke hadapan pada setiap masa, tindakan dan keputusan kami akan dipandu oleh prinsip konsensus,” katanya.

Anda Mungkin Berminat