Pakar Sahkan Jalan Masjid India Selamat

KUALA LUMPUR: Semua kawasan di sekitar jalan Masjid India disahkan selamat untuk semua aktiviti.

Perkara itu disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri(Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, perkara ini selepas berpandukan kepada hasil kajian oleh Task Force Khas yang melibatkan pakar daripada pelbagai agensi di negara ini.

Menurut Dr Zaliha sebagai langkah pencegahan untuk mengelakkan kejadian lubang benam berulang, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil inisiatif menjalankan Audit Integriti Aset Utiliti di kawasan Central Business District (CBD), termasuk Jalan Masjid India.

“Pemetaan dan ujian integriti bawah tanah telah dijalankan bagi mengenal pasti sebarang kelemahan pada aset-aset lama.

“Dalam usaha menyiasat struktur tanah, teknologi terkini seperti Ground Penetrating Radar (GPR) dan Mackintosh Probe (MP) digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran mengenai status keselamatan terkini dan tindakan yang diambil berhubung kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Dr Zaliha juga menjelaskan ujian geofizik seperti Micro Gravity dan Ground Settlement Monitoring juga dilaksanakan untuk mengesan sebarang pergerakan tanah dan kewujudan lohong bawah tanah yang boleh membahayakan keselamatan awam.

“Bagi tindakan jangka panjang, DBKL merancang untuk melaksanakan penyiasatan tanah yang lebih mendalam dengan menggunakan teknik ‘Deep Boring’.

“Laporan geoteknikal yang komprehensif akan disediakan oleh jurutera bertauliah untuk memantau dan menilai keadaan tanah di kawasan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Zaliha juga memaklumkan pihak DBKL akan meningkatkan komunikasi awan dengan menggunakan platform media sosial untuk memberi maklumat terkini mengenai tahap keselamatan di Jalan Masjid India.

Tindakan ini bertujuan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap keselamatan kawasan tersebut.

“Dengan pelaksanaan langkah-langkah pencegahan ini, DBKL bertekad untuk memastikan Jalan Masjid India kekal selamat dan berfungsi sebagai pusat aktiviti masyarakat, serta mencegah sebarang kejadian tidak diingini di masa hadapan,”katanya.

Sebelum ini, pada kejadian 23 Ogos lalu, seorang warganegara India, Vijaya Lakshmi hilang selepas terperlus ke dalam lubang sedalam 10 meter apabila tiba-tiba berlaku tanah jerlus ketika beliau berjalan di atas siar kaki di situ.

Baca juga: