Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Pendakwah terkenal, Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli akur dan telah mengakui kesilapan berhubung video tular yang memperlihatkan sekumpulan pelajar mengalunkan bait-bait qasidah yang didakwa memujinya secara keterlaluan.
Beliau yang juga merupakan Pengasas Yayasan DarSA turut menyatakan pertemuannya bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) telah berjaya merungkai isu tersebut.
“Mereka (JHEAIK) telah menjalankan amanah dan tugasnya sebagai pemantau isu-isu agama di seluruh negeri dan bagi pihak saya, kami telah menerima tunjuk nasihat dipandu, insya-Allah,” katanya menerusi video yang dimuat naik di laman TikTok miliknya.
Beliau turut menegaskan komitmen pihaknya dan institusi DarSA untuk lebih berwaspada terhadap perkara sebegini serta merancang rombakan ke arah kebaikan demi kesejahteraan umat Islam.
“Kami akan melakukan pemantauan yang lebih dan juga membuat perubahan ke arah yang lebih baik demi masyarakat Islam dan juga ummah,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan harapan agar keharmonian agama terus terpelihara dan menganggap polemik tersebut selesai.
Terdahulu, Pengarah JHEAIK, Datuk Dr Abd Ghani @ Zulkifli Zainuddin turut mengesahkan pihaknya telah memanggil Zainul Asri pada Ahad berhubung isu video berkenaan.
Zainul Asri mengakui bahawa video tersebut dirakam pada tahun 2020 yang dirakam semasa sambutan hari lahirnya dan beliau menjelaskan bahawa tidak menyuruh pelajar-pelajar tersebut untuk tidak memuji namanya dan tindakan itu adalah di luar pengetahuannya.
JHEAIK telah memanggil beliau untuk mendapatkan penjelasan dan memberi teguran serta nasihat agar lebih berhati-hati dalam tindakannya pada masa akan datang.
Menurutnya, amalan memuji individu secara berlebihan perlu dielakkan kerana ia boleh menimbulkan persepsi negatif dan ketaksuban melampau yang bertentangan dengan akidah.