Tentera Darat Malaysia Tumpas Penyeludupan Daun Ketum di Sempadan

KUALA NERANG: Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) Tentera Darat Malaysia (TDM) telah berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan daun ketum di sempadan Malaysia-Thailand.

Dalam satu kenyataan, pasukan keselamatan itu berkata, komitmen teguh mereka adalah bagi memastikan keselamatan sempadan negara.

“Pada jam 3.30 petang (11 Oktober 2024), pasukan operasi mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan beberapa motosikal yang mencurigakan di sempadan.

“Setelah mengejar, sebuah pacuan empat roda dan sebuah motosikal terbalik dalam cubaan untuk melarikan diri.

“Pemeriksaan mendapati terdapat 628 kilogram daun ketum dalam sembilan guni putih dan 33 plastik hitam bernilai RM 18,840.00,” menurut kenyataan itu.

Difahamkan, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kuala Nerang dan semua barang rampasan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan, termasuk kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan motosikal Honda Wave 110i berjumlah RM 81,340.00.

“TDM komited memastikan keselamatan di sempadan negara dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan,” kata jurucakap TDM.

Kejayaan ini berlaku di sektor kawasan tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd).

Anda Mungkin Berminat