Belanjawan 2025: MTUC saran COLA kepada pekerja swasta

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengharapkan Belanjawan 2025 akan memperkenalkan inisiatif khusus bagi membantu golongan pekerja berpendapatan rendah menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.

Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani, menyarankan agar pelaksanaan Elaun Kos Sara Hidup (COLA) dilakukan secara menyeluruh kepada pekerja sektor swasta.

“… bagi memastikan mereka turut mendapat bantuan yang sama seperti pekerja sektor awam.

“Dengan kos sara hidup yang meningkat, sudah tiba masanya pekerja swasta juga menikmati elaun ini sebagai sokongan untuk kehidupan yang lebih stabil,” tegasnya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.

Selain itu, ujarnya Kerajaan juga boleh memperkenalkan program subsidi makanan kepada barangan asas seperti beras, minyak masak, dan susu membolehkan pekerja membeli pada harga berpatutan, sekali gus meringankan beban kos kehidupan harian mereka.

Dalam usaha untuk memperkasakan pekerja melalui peningkatan kemahiran, MTUC turut mencadangkan insentif cukai kepada majikan yang menyediakan program latihan kepada pekerja mereka.

“Dengan latihan yang bersesuaian, pekerja dapat meningkatkan kemahiran dan daya saing mereka di pasaran kerja,” ujar beliau.

MTUC juga berharap Belanjawan 2025 akan memperluaskan perlindungan sosial bagi memastikan pekerja berpendapatan rendah mempunyai akses kepada skim insurans kesihatan yang lebih mampu milik.

Anda Mungkin Berminat