Jika ada pelanggaran, sila lapor SPRM – PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tohmahan beliau menutup mata tentang dakwaan terhadap bekas pegawainya, adalah tidak adil.

Beliau meminta untuk melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jika terdapat pelanggaran dalam kes pembelian saham oleh mana-mana individu.

“Untuk terus kaitkan kerana pernah jadi staf saya kurang adil. Kebetulan dia empat, lima tahun lalu staf saya, maka itu dibangkitkan.

“Andai kata ada maklumat jelas melibatkan sesiapa pun termasuk Farhash dalam kes mana-mana sila lapor. Saya pastikan SPRM tidak akan menutup kes itu,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika menjawab persoalan daripada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang meminta pihak polis mendedahkan siasatan ke atas Farhash.

Tambah Anwar, syarikat yang terkait isu tersebut melibatkan Sultan dan diluluskan oleh kerajaan sebelum ini (Perikatan Nasional) sebelum Farhash menjadi anggota syarikat berkenaan.

“Saya percaya Ahli Parlimen Pasir Mas tahu yang dikaitkan itu satu syarikat yang melibatkan Sultan, tidak libatkan Farhash.

“Kelulusan kontrak yang dikaitkan itu kelulusan dibuat kerajaan terdahulu iaitu kerajaan Perikatan Nasional, bukan kerajaan saya dan semasa itu Farhash belum menjadi anggota syarikat tersebut.

“Kemudian syarikat berkenaan itu sekarang dimiliki oleh sebahagian besar saham oleh Tuanku dan tak ada kena mengena dengan Farhash,” katanya.

Sebelum ini, Bloomberg dalam satu laporan memetik sumber mendakwa Anwar mengarahkan SPRM untuk tidak menyiasat pembelian saham oleh Farhash, namun perkara itu dinafikan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan SPRM.