Lee Zii Jia tetap unggul dalam senarai pemain badminton dunia

KEDUDUKAN jaguh badminton negara, Lee Zii Jia turun ke tangga ke-7 selepas gagal mempertahankan kejuaraan Terbuka Artik di Finland. 

Namun di sebalik penurunan ranking tersebut, masih berada dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia dan dijangka mengekalkan kedudukannya sehingga hujung tahun.

Pemain perseorangan berusia 26 tahun itu mungkin terpaksa memperlahankan rentaknya akibat kecederaan buku lali, namun semangat juangnya tetap tidak luntur.

Kecederaan tersebut juga memaksa Zii Jia menarik diri daripada kejuaraan Terbuka Denmark minggu ini, dan dia dijangka berehat lebih lama dengan tidak menyertai kejohanan di Jerman dan Korea. 

Walaupun begitu, peminat hanya perlu bersabar seketika kerana Zii Jia bakal kembali beraksi di Kumamoto Masters Super 500 di Jepun dan China Masters Super 750 pada November depan.

“Ini hanyalah satu halangan kecil dalam perjalanan panjang saya,” ujar Zii Jia, lapor News Strait Times.

Dalam pada itu, pemain kelahiran Kedah itu juga layak untuk bertanding di World Tour Finals di Hangzhou, China pada Disember. 

Kini berada di tangga ke-5 dalam kedudukan sementara, Zii Jia perlu berada dalam tujuh pemain teratas selepas China Masters untuk memastikan tempatnya di kejohanan eksklusif itu, yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah AS$ 2.5 juta (RM10.77 juta).

Walaupun laluan ke World Tour Finals tampak mencabar, Zii Jia optimis dan percaya pada proses seterusnya bertekad untuk berusaha gigih membawa pulang kejayaan.

Peminat badminton tanah air kini menantikan aksi bertenaga Zii Jia dalam persaingan seterusnya dan berharap dia akan terus mencipta kejayaan demi kejayaan di pentas dunia.

Tumpuan kini adalah untuk melihat Zii Jia kembali lebih kuat dan cemerlang dalam kejohanan akan datang.

Anda Mungkin Berminat