Oleh: Shafira Aziz
MESKIPUN dikecam, Miss Alabama Kebangsaan 2024, Sara Milliken konsisten menjalankan tanggungjawab untuk menginspirasi dan memperjuangkan pelbagai inisiatif komuniti.
Selepas dinobatkan sebagai Miss Alabama 2024, Milliken, 23, diberi peluang menyertai projek komuniti dan amal, memperkasa perubahan positif bagi meningkatkan kesedaran kesihatan mental dan keyakinan diri.
Walaupun sering dipandang rendah dan pernah dibuli ketika cuba bertanding pada usia 16 tahun, dia memutuskan untuk berehat selama tujuh tahun sebelum kembali tahun ini dengan tekad baharu hingga berjaya merangkul gelaran tersebut.
Meskipun menerima kecaman daripada segelintir pengguna media sosial selepas dinobatkan sebagai pemenang, Milliken tidak membiarkan kata-kata negatif tersebut mematahkan semangatnya malahan terus menyerlahkan dirinya di khalayak ramai.
“Saya boleh sembunyikan diri, berhenti memuat naik di media sosial, atau tidak membuat sebarang penampilan. Tetapi saya memilih untuk tidak menyerah,” tegasnya.
Dengan kemenangan tersebut, Milliken membuktikan bahawa kecantikan tidak terhad kepada saiz atau rupa semata-mata.
Terdahulu, Milliken merupakan seorang model bersaiz besar dan pejuang kesihatan mental telah berjaya mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai Miss Alabama 2024 dalam pertandingan National American Miss (NAM) Alabama pada 27 Mei.
Kemenangan tersebut bukan sekadar meraih mahkota, tetapi simbol keberaniannya melawan standard kecantikan konvensional.