PUTRAJAYA: Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengumumkan pelantikan Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly sebagai Penasihat Media dan Komunikasi Strategik, berkuatkuasa 14 Oktober 2024.
Beliau menggantikan Allahyarham Rozaid Rahman yang telah meninggal dunia.
Shazalli Ramly yang kini berkhidmat sebagai Penasihat Media Khazanah Nasional Berhad, akan turut memantau urusan media dan komunikasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain itu, beliau juga akan ditugaskan untuk menambah baik pelaksanaan kempen Malaysia MADANI.
Menurut kenyataan itu lagi, pelantikan itu diharapkan dapat memperkukuh strategi komunikasi kerajaan dan memastikan penyampaian maklumat yang lebih berkesan kepada rakyat.
Untuk rekod, Shazalli Ramly merupakan salah seorang Pengarah dan Ahli Lembaga syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia X.
Shazalli Ramly merupakan graduan lulusan Sarjana Pengurusan Perniagaan di Universiti St. Louis, Missouri, Amerika Syarikat (AS).
Beliau turut mempunyai kelulusan Sarjana Muda Sains (Pemasaran) di Indiana University Bloomington, Indiana, AS.