SUNGKAI: Jabatan Pertanian Perak memperluas kawasan penanaman bawang Perak sehingga 10 hektar bagi fasa kedua penanaman, sebagai usaha meningkatkan pengeluaran sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap import produk tersebut.
Pengarah Jabatan Pertanian Perak, Norsiyenti Othman berkata, kejayaan projek rintis seluas satu hektar di Kampung Kuala Bikam yang menghasilkan 3.3 tan metrik bawang pada tuaian pertama April lalu menjadi titik tolak bagi usaha memperluas penanaman bawang dalam skala yang lebih besar.
“Tanaman rintis (Kampung Kuala Bikam) sudah memasuki fasa kedua dan secara keseluruhannya tanaman bawang di Perak seluas 10 hektar melibatkan projek di bawah selenggaraan Jabatan Pertanian Perak dan termasuk Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Perak,” katanya, memetik Sinar Harian.
Beliau berkata, Jabatan Pertanian telah menerima bekalan bawang merah kecil dalam bentuk ‘bulb’ seberat tiga tan metrik daripada Bahagian Pembangunan Industri Tanaman (BPIT) untuk penanaman di Daerah Batang Padang.
Sementara itu, beliau berkata, kawasan penanaman akan diperluas melalui kerjasama strategik dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) untuk menanam bawang di tanah wakaf masjid seluruh negeri, melibatkan anggaran kawasan seluas empat hektar.
“Inisiatif ini selaras dengan matlamat Perak untuk memperkasakan keterjaminan makanan dan mengurangkan kebergantungan kepada import, seperti yang digariskan dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad,” katanya.
Norsiyenti juga memaklumkan bahawa penanaman bawang kali ini akan ditambah baik berdasarkan penemuan daripada projek rintis terdahulu, termasuk dari segi jarak penanaman, kawalan perosak dan penyakit, pembajaan, serta proses pengeringan.
Penambahbaikan ini dilakukan berdasarkan hasil pembelajaran daripada lawatan ke Indonesia sebelum ini.
Katanya, pada 2022 jumlah import bagi dua jenis bawang, iaitu bawang besar dan bawang kecil adalah 685,400 tan dengan nilai mencecah RM1.58 bilion.
Berdasarkan data statistik berkenaan, Malaysia mengimport bawang sebanyak 525,055.37 tan dengan nilai RM944,990,373 dari 20 negara.
“Jumlah import yang tertinggi adalah dari India iaitu 321,776.16 tan, Belanda (77,772.55 tan), China (47,165.48 tan), Pakistan 42,957.62 tan, Thailand 12,186.52 tan serta lain-lain negara.
“Krisis bekalan bawang pada 2020 yang berpunca daripada banjir besar di India, telah mengakibatkan kenaikan harga jualan bawang sehingga tiga kali ganda.
Sejak itu, Perak menjadi negeri pertama yang memulakan langkah penanaman bawang secara komersial,” katanya.