TVET Buka Potensi Pendapatan Orang Asli

KUALA LUMPUR: Program TVET In-situ yang berkonsepkan kursus jangka pendek membuka peluang masyarakat Orang Asli untuk meningkatkan kemahiran sekali gus menjana pendapatan.

Sebanyak 55 kursus TVET In-Situ telah dianjurkan di perkampungan Orang Asli di seluruh Semenanjung Malaysia sejak 2022 hingga 2024, dengan penyertaan luar biasa seramai 1,200 peserta.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, mengumumkan kejayaan program ini dan menegaskan bahawa ia merupakan inisiatif penting yang digerakkan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dengan kerjasama pelbagai agensi dan Institut Latihan Kemahiran Awam seperti GiatMara dan Kolej Komuniti.

“Kursus TVET In-Situ ini memberikan peluang kepada masyarakat Orang Asli untuk memperoleh kemahiran praktikal tanpa perlu keluar dari perkampungan mereka.

“Latihan jangka pendek ini membantu mereka mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari dalam kehidupan harian dan seterusnya menjana pendapatan sendiri,” jelas Rubiah Wang.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan, mengenai usaha kerajaan dalam memperluaskan peluang pengajian TVET kepada masyarakat Orang Asli.

Rubiah Wang turut menegaskan bahawa kursus yang ditawarkan disesuaikan dengan minat dan keperluan masyarakat kampung, memastikan ia relevan dan memberi kesan positif kepada taraf hidup mereka.

Jelasnya inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam membawa latihan berkualiti terus ke komuniti, seterusnya membantu mereka meningkatkan taraf hidup.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat