KUALA LUMPUR: Sebanyak 42 kampung di seluruh negara telah dinaiktaraf menerusi inisiatif Kampung Angkat Madani yang dilaksanakan kerajaan melalui peruntukan RM86.3 juta dalam Belanjawan 2024.
Inisiatif ini bertujuan merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar, sekali gus meningkatkan kualiti hidup penduduk kampung.
Peruntukan ini digunakan untuk membiayai pembangunan infrastruktur asas seperti bekalan air bersih, pembinaan jalan raya yang lebih baik, serta peningkatan akses kepada kemudahan pendidikan dan kesihatan.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa komuniti luar bandar, kampung-kampung yang terlibat kini turut dilengkapi dengan akses internet, membolehkan penduduk menikmati kemudahan teknologi maklumat yang lebih meluas.
Dalam pada itu, selain pembangunan fizikal, inisiatif ini turut memberi fokus kepada projek-projek ekonomi yang boleh menjana pendapatan tambahan bagi penduduk kampung.
Pembangunan infrastruktur, termasuk akses kepada internet, akan membuka lebih banyak peluang kepada penduduk kampung, sama ada dalam pendidikan, perniagaan, atau pekerjaan.
Pemasangan akses internet di kampung-kampung yang terlibat juga dijangka mempercepatkan kemajuan dan keterhubungan masyarakat luar bandar dengan dunia digital.
Dengan adanya akses kepada internet, penduduk kampung kini dapat terlibat dalam pelbagai aktiviti digital seperti pendidikan dalam talian, perdagangan elektronik, serta mendapatkan maklumat terkini.
Difahamkan, terdapat dua jenis penumpuan yang diberikan kepada Kampung Angkat Madani iaitu berbentuk fizikal dan bukan fizikal.
Projek fizikal membabitkan penambahbaikan jalan kampung, lampu jalan, bekalan air, capaian Internet, membaiki jambatan atau titi dan sebagainya.
Manakala projek bukan fizikal pula adalah seperti bantuan pengesahan di kawasan setempat seperti pendaftaran program bantuan, perkhidmatan saringan kesihatan dan program bimbingan.
Antara yang mendapat perhatian ialah Kampung Angkat Madani Kementerian Pertahanan di di Kampung Baru Pasak, Kota Tinggi, Johor yang berharap projek ini dapat memberi manfaat menyeluruh kepada komuniti kampung itu.
Ketua Kampung, Mohd Riduwan Midi menyatakan kesyukurannya kerana Kerajaan telah memilih Kampung Baru Pasak sebagai Kampung Angkat Madani yang melibatkan pembinaan baru surau, dua unit pusat komuniti, program gotong-royong perdana Madani serta penganjuran pelbagai kursus dan latihan buat penduduk.
Selain itu, kampung di mukim Hulu Besut, Terengganu mengalami perubahan besar dalam infrastruktur asasnya setelah dijadikan Kampung Angkat Madani.
Mana tidaknya, sebanyak 25 bot penyelamat banjir bernilai RM200,000 telah diserahkan kepada Pejabat Daerah Besut untuk kegunaan 10 kampung di mukim Hulu Besut.
Bot penyelamat banjir yang diberikan dapat memanfaatkan hampir 5,000 penduduk di kesemua kampung tersebut iaitu Kampung Batu 13, Kampung Cawangan, Kampung Panchor, Kampung La, Kampung Seberang La, Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh, Kampung Keruak, Kampung Pak Sik dan Kampung Kuala Sayap.
Dengan adanya bot penyelamat banjir ini, proses untuk pindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan akan jadi lebih smooth. Malah, empat balai raya sudah disiapkan jadi pusat pemindahan kekal, lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk dapur!