76 peratus penerbangan tepati masa – Loke

Oleh: Shafira Aziz

PARLIMEN | Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) komited dalam menangani isu kelewatan dan pembatalan penerbangan di Malaysia.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan data Januari hingga Ogos 2024, dilaporkan 76 peratus daripada 315,388 penerbangan yang dijadualkan berjaya menepati masa.

“MAVCOM sentiasa memantau ketepatan waktu penerbangan tempatan melalui kadar On-Time Performance (OTP) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2,” katanya.

Selain itu, tambahnya 90.2 peratus penerbangan yang tertangguh mengalami kelewatan kurang daripada dua jam, manakala baki selebihnya ditunda lebih dua jam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Betong, Datuk Richard Rapu @ Aman Begri mengenai statistik terkini mengenai kelewatan dan pembatalan penerbangan yang merangkumi semua syarikat penerbangan domestik di Malaysia

Loke turut memuji peningkatan OTP syarikat penerbangan, terutama Malaysia Airlines, yang melonjak kepada 78.1 peratus pada September berbanding 58.2 peratus pada Ogos.

“AirAsia dan AirAsia X juga mencatatkan prestasi stabil, dengan masing-masing mencapai OTP 67.9 peratus dan 81.8 peratus untuk laluan domestik pada September.

“Bagaimanapun, Batik Air mencatat penurunan prestasi, terutama bagi laluan antarabangsa, dengan kadar OTP merosot daripada 71.7 peratus kepada 57.7 peratus.

“Bagi memastikan ketepatan masa lebih baik, MOT telah menetapkan sasaran OTP minimum 85 peratus untuk semua syarikat penerbangan mulai April 2024.

“Sekiranya syarikat gagal mencapai sasaran, permohonan untuk menambah atau memperbaharui hak trafik udara boleh terjejas,” tambahnya.