Agenda pembaharuan Kerajaan dorong pengukuhan nilai ringgit


Oleh: Shafira Aziz

PARLIMEN | Kerajaan optimis dengan prestasi ringgit tahun ini, disokong oleh keyakinan pelabur dan perkembangan positif di peringkat global dan domestik.

Mewakili Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Maslan, sentimen pelabur terhadap mata wang pasaran pesat membangun termasuk ringgit kini semakin meningkat seiring perubahan dasar monetari global, khususnya oleh Amerika Syarikat (AS).

“Peralihan pendirian dasar oleh AS, termasuk penurunan kadar faedah telah mengubah tingkah laku pelabur dan mengurangkan perbezaan kadar faedah antara negara,” jelasnya.

Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya turut menekankan bahawa keyakinan pelabur terhadap agenda pembaharuan kerajaan merupakan faktor utama pengukuhan ringgit.

“Dasar seperti Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal serta penstrukturan subsidi elektrik, air, dan diesel menjadi asas kepada keyakinan ini,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin mengenai faktor-faktor nilai Ringgit melonjak naik.

Kerangka tersebut turut disokong oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), yang bertujuan memperkukuh peralihan ekonomi negara ke arah kemakmuran dan kelestarian.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu pertumbuhan ekonomi suku kedua 2024 mencatatkan peningkatan kepada 5.9 peratus, berbanding 4.2 peratus pada suku pertama.

Kadar pengangguran pula turun ke paras 3.2 peratus pada Ogos 2024, kembali ke tahap sebelum pandemik Covid-19.

Tambahan lagi, inflasi kekal terkawal pada 1.9 peratus berbanding 2 peratus dalam tiga bulan sebelumnya.

Bank Negara Malaysia (BNM) juga mengambil langkah konkrit dengan menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan korporat membawa pulang pendapatan pelaburan asing dan menukarnya kepada ringgit.

“Langkah ini membantu merancakkan aliran dua hala dalam pasaran pertukaran asing domestik, sekali gus menyokong pengukuhan nilai ringgit,” tambahnya.

Anda Mungkin Berminat