Amirudin Tekan Hubungan P2P sempena tuan rumah ASEAN

PETALING JAYA: Kerjasama erat antara rakyat negara anggota ASEAN adalah kunci kepada kestabilan dan pembangunan rantau ini, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Dalam syarahan yang bertajuk ‘ASEAN Centrality Amidst Regional Changes’, beliau yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menekankan kepentingan hubungan ‘people-to-people’ (P2P) bagi merapatkan masyarakat serantau sempena Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.

“Hubungan P2P ini penting untuk merapatkan masyarakat serantau dan memastikan kerjasama lebih erat antara negara anggota,” kata Amirudin.

“Dengan dinamik hubungan antara China dan Amerika Syarikat yang semakin mencabar, ASEAN perlu tampil sebagai pusat tumpuan global dan memainkan peranan strategik dalam memacu kestabilan serantau,” katanya pada sesi Syarahan MADANI Global di Ibupejabat PKR yang dianjurkan oleh Biro Antarabangsa PKR dan Kelab Diplomat Muda Malaysia (DIPLO), malam tadi.

Hubungan P2P merujuk kepada interaksi dan kerjasama langsung antara rakyat dari pelbagai negara. Ini biasanya melibatkan pertukaran budaya, pendidikan, dan sosial yang membina rasa saling memahami dan menghormati antara individu daripada latar belakang yang berbeza.

Contohnya, program pertukaran pelajar, lawatan kebudayaan dan projek sukarelawan antarabangsa adalah sebahagian daripada usaha P2P.

Amirudin turut mengucapkan tahniah atas penganjuran pertama sesi syarahan itu dan menekankan bahawa ini adalah permulaan yang baik dalam membincangkan isu-isu global yang terkait dengan Malaysia.

Anda Mungkin Berminat