Banjir di Pahang pula memburuk

TEMERLOH: Pahang menjadi negeri tertinggi merekodkan mangsa banjir paling ramai iaitu 1,596 orang ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 pagi hari ini.

Sementara Kedah pula mencatatkan 1,478 orang di empat mukim iaitu Kota Setar (615 orang), Baling (510 orang), Pendang (348 orang) dan Pokok Sena seramai lima orang.

Seterusnya, negeri Perak turut melaporkan kenaikan iaitu 1,107 orang di Kuala Kangsar, Hilir Perak, Kerian, Muallim dan Perak Tengah.

Melaka juga mencatatkan perkembangan terbaharu di Jasin dengan tiga PPS dibuka menempatkan 197 orang.

Selangor dan Johor masing-masing mencatatkan mangsa banjir di bawah 100 orang iaitu 89 orang di dua PPS di Hulu Selangor dan Hulu Langat manakala 17 orang di PPS Batu Pahat.

Akhir sekali, kemaskini di Betong Sarawak masih mengekalkan 105 orang setakat 29 September.

Terdahulu, Kuala Lumpur dilanda banjir kilat gara-gara hujan lebat beberapa jam menyebabkan pelbagai kawasan termasuk ibu kota lumpuh sementara.