Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor mengumumkan penangguhan pelaksanaan Konvensyen Pemuda Negeri yang dijadualkan berlangsung pada hujung minggu ini.
Ia berikutan persiapan bagi menghadapi fenomena air pasang besar dan hujan lebat yang dijadualkan berlaku sekitar 17 hingga 20 Oktober 2024.
Menerusi satu kenyataan, maklumat terkini berkenaan bencana alam itu adalah berdasarkan kepada Pusat Operasi Bencana DDOC Negeri Selangor.
Ketua Pemuda AMANAH Selangor, Danial Al-Rashid Haron berkata, keutamaan harus diberikan kepada penduduk terjejas akibat keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Walaupun persiapan untuk konvensyen telah dilakukan dengan rapi dan penuh komitmen, kami percaya bahawa keutamaan kini harus diberikan kepada usaha membantu penduduk yang terjejas akibat keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Parti AMANAH Selangor menegaskan bahawa sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab, kami perlu menempatkan kepentingan masyarakat di hadapan, terutama dalam situasi bencana seperti ini,” katanyai.
Beliau berkata, ketika saat-saat sukar yang dihadapi penduduk, semangat kerjasama dan keprihatinan terhadap sesama insan adalah nilai yang perlu diperkukuhkan.
“Marilah kita bersama-sama berusaha untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
“Pemuda AMANAH Selangor akan terus memantau situasi ini dan memberikan maklumat terkini kepada semua pihak di samping akan terus berhubung dan memberikan kerjasama kepada pelbagai agensi untuk memastikan kelancaran bantuan disalurkan.
“Kami menyeru seluruh Pemuda Amanah di seluruh negeri untuk bersiap siaga dan mengerahkan tenaga bagi membantu masyarakat yang memerlukan.
“Ini termasuklah memberi sokongan dalam bentuk bantuan kecemasan, penyediaan tempat perlindungan, dan penyampaian maklumat penting kepada penduduk yang mungkin terjejas,” katanya.