Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan PAS sebagai lebih sudu daripada kuah.
Menurut beliau ini kerana mereka menyifatkan penyertaan adik Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi iaitu Datuk Abdul Hakim Hamidi ke parti itu sebagai hari bersejarah.
“PAS kata ‘hari ini dalam sejarah’ bila Hakim Hamidi adik Presiden UMNO sertai PAS.
“Sepatutnya yang lebih layak terima pujian itu ialah Tan Sri Muhammad Muhd Taib atau Annuar Musa.
“Mereka berdua juga bekas Naib Presiden dan Setiausaha Agung UMNO. Hakim bukan kelas berat (heavyweight) dan mungkin pandai berniaga.
“Parti lain rileks apabila terima orang baru. Oleh itu, PAS jangan dilihat lebih sudu dari kuah,” katanya.
Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit bahkan berkata tidak membawa kerugian kepada UMNO apabila Hakim Hamidi menyertai PAS.
“Tidak ada apa dalam PAS baik manis iman, survival politik atau perjuangan Islam.
“UMNO juga tidak hairan Hakim masuk PAS. UMNO jalan terus sahaja. Mad Tyson kembali kepada Umno, jadi kita tunggu Annuar Musa.
“Apa PAS dapat darinya. Kalah lagi teruk di Nenggiri. Jadi, UMNO tidak hairan siapa keluar parti. Di bawah Zahid, UMNO mempunyai kuasa tawar-menawar (bargaining power) sendiri,” jelasnya.
Adik kepada Presiden UMNO, Datuk Abdul Hakim Hamidi dilaporkan telah menyertai PAS dan menyerahkan surat keahlian pada 15 Oktober lalu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki menerusi video yang dimuat naik di laman media sosial PAS Parit Buntar.