Oleh: Kamilia Ali
PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berjaya menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan dengan melaksanakan reformasi dalam penyaluran Bantuan Am Negeri di 11 negeri yang terlibat.
Menterinya, Datuk Nancy Shukri berkata, sistem berkenaan berjaya memperkemas sistem pembayaran bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sebelum ini mengguna pakai kaedah baucar manual.
“Kolaborasi strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri melalui integrasi dua sistem iaitu eBantuanJKM dan Sistem Perakaunan Akruan Kerajaan Negeri (iSPEKS) telah memudahkan proses pembayaran Bantuan Am Negeri bagi 11 buah negeri di Semenanjung.
“Perkara itu dilaksanakan secara antara muka kedua sistem tanpa melibatkan intervensi manual dan menjadikan proses penyaluran bantuan yang lebih telus, cekap dan berkesan.
“Ia juga selaras dengan hasrat untuk mereformasikan perkhidmatan awam agar lebih pantas, tangkas dan dinamik di semua peringkat,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ia juga dapat mengurangkan risiko penyelewengan dan memudahkan proses pemantauan yang sistematik.
“Kerjasama KPWKM melalui JKM serta sokongan padu daripada Jabatan Akauntan Negara (JANM) dan Kerajaan Negeri dapat memberi kesan positif terhadap perkhidmatan kepada golongan yang memerlukan sekali gus meningkatkan imej perkhidmatan kerajaan di mata masyarakat.
“Pelaksanaan inisiatif ini sangat bertepatan dengan hasrat dan halatuju kerajaan supaya penyampaian perkhidmatan sektor awam diberi satu anjakan islah atau penambahbaikan berterusan terhadap landskap penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.
Sementara itu, sehingga Ogos 2024 terdapat sejumlah 543,008 penerima bantuan JKM seluruh Malaysia dan daripada jumlah tersebut, seramai 90,559 orang (16.7 peratus) adalah penerima Bantuan Am Negeri.
Baca juga: