Mohon Warganegara Kena Faham Rukun Negara – Rayer

Oleh: Hanim Nadia

PARLIMEN | Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menegaskan, selain penguasaan Bahasa Melayu, seseorang pemohon warganegara itu perlu menghormati Rukun Negara.

“Kesetiaan kepada raja, saban hari kita dengar dari bekas Perdana Menteri, bekas Menteri Besar yang mengeluarkan pelbagai kenyataan yang memperlekehkan institusi raja-raja.

“Jadi yang ingin memohon kewarganegaraan, mereka bukan saja perlu menguasai bahasa Melayu tapi perlu menghormati Rukun Negara kita. Ini perkara penting dan jangan kita perlekehkan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan dibahaskan 57 Ahli Parlimen hari ini, dengan sesi penggulungan dan pengundian dijadual esok.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin pula meminta kerajaan menetapkan secara khusus tahap penguasaan dan pengetahuan Bahasa Melayu yang perlu untuk dijadikan penilaian bagi melayakkan seseorang individu itu mendapatkan kewarganegaraan.

Katanya, ia penting sebagai garis panduan kepada pihak terbabit yang mengendalikan proses berkenaan sekaligus juga mengelak tiada pihak jadi mangsa.

“Saya minta pihak kerajaan supaya beri penjelasan setakat mana tahapnya. Bagi saya, untuk kemasukan ke universiti awam pun kena dapat kredit dalam Bahasa Melayu.

“Jadi tahapnya mungkin dalam berkomunikasi secara umum dalam masyarakat. Saya mohon penjelasan jelas mengenai perkara ini supaya tidak ada pihak jadi mangsa.

“Kita tidak mahu nanti ada pegawai kerajaan, di tempat berbeza menggunakan standard yang berbeza. Perlu ada garis panduan tahap penguasaan tentang bahasa kebangsaan kita ini,” katanya

RUU itu antara lain bertujuan meminda Perkara 15 Perlembagaan Persekutuan bagi mengenakan syarat tambahan untuk mempunyai pengetahuan mencukupi dalam bahasa Melayu kepada mana-mana wanita bersuami yang membuat permohonan kewarganegaraan melalui pendaftaran.

Anda Mungkin Berminat