Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: PELAKON Sharifah Amani meluahkan rasa bangga apabila filem La Luna dipilih mewakili Singapura dalam kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik di Anugerah Akademi (Oscars) ke-97 tahun depan.
Bagi Sharifah, atau nama penuhnya Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya, 38, pengiktirafan itu bukan sahaja menggembirakan, malah bermakna kerana ia melibatkan kerjasama antara Malaysia dan Singapura.
“Rasanya istimewa bila tahun ini kita (Malaysia) ada dua penyertaan ke Oscars, filem Abang Adik dari Malaysia dan satu lagi, La Luna, walaupun mewakili Singapura, turut membawa semangat Malaysia kerana ia merupakan usaha bersama,” kata Sharifah Amani ketika dihubungi Malaysia Bangkit, baru-baru ini.
Menerusi hantaran di laman Instagram miliknya, Sharifah Amani juga menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada pasukan produksi filem tersebut.
“Syukur Alhamdulillah, La Luna dipilih mewakili Singapura ke Oscars! Terima kasih kepada pengarah, Raihan Halim dan semua yang terlibat. Pengalaman membawakan watak Hani dalam filem ini sangat peribadi buat saya, dan melihat ia diiktiraf sebegini benar-benar mengharukan,” katanya dalam hantaran tersebut.
La Luna mengisahkan seorang wanita bernama Hani yang membuka sebuah kedai pakaian dalam di kampung konservatif, mencetuskan konflik dan reaksi berbeza dalam kalangan penduduk.
Watak Hani mencerminkan perjuangan dan keberanian menghadapi perubahan budaya dalam masyarakat tradisional.
Walaupun filem tersebut secara rasmi mewakili Singapura, ia adalah hasil produksi bersama Malaysia dan Singapura, dengan lakonan mantap dari bakat Malaysia seperti Shaheizy Sam dan Sharifah Amani sendiri.
Filem tersebut juga mendapat perhatian di beberapa festival antarabangsa termasuk di Jepun pada Festival Filem Antarabangsa Tokyo dan Indonesia melalui Minggu Filem Jakarta dan Festival Filem Asia Jogja-NETPAC, yang mencerminkan kualiti dan impak karya tersebut.