Tiada tolak ansur bendung sindiket warga asing – Saifuddin

Oleh: Shafira Aziz

PARLIMEN | Kerajaan tekad membanteras sindiket yang membawa masuk warga asing secara haram.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan komitmen kerajaan dalam menangani isu ‘counter-setting’ dan rasuah di pintu masuk negara melalui tiga langkah tegas.

“Ini melibatkan pelanggaran integriti dan amalan rasuah yang tidak boleh ada tolak ansur. Tata kelola perlu diperkemas dan perubahan mesti dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

“Kerjasama strategik antara Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi penguatkuasa lain telah berjaya menumpaskan 47 sindiket serta melakukan 1,285 tangkapan sehingga Oktober tahun ini,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Selain itu, kawalan ketat di kaunter imigresen turut diperhebat dengan rondaan, pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) serta lawatan mengejut oleh penyelia.

“Pegawai yang bertugas di kaunter tidak dibenarkan membawa alat telekomunikasi, dan body search dilakukan sebelum dan selepas mereka bertugas,” jelasnya.

Pasukan khas juga ditugaskan untuk memantau pengembara yang mencurigakan sebelum tiba di kaunter, menyekat 6,694 orang setakat September.

Langkah ketiga melibatkan peningkatan penggunaan teknologi, termasuk sistem saringan awal penumpang (Advance Passenger Screening System) bagi menyaring pengembara sebelum mereka tiba di Malaysia.

Selain itu, CCTV di kaunter akan dinaik taraf dengan fungsi audio dan visual untuk memantapkan kawalan dan pemantauan.

Saifuddin berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai langkah tegas Kerajaan dalam menangani sindiket membawa masuk warga asing melalui modus operandi ‘counter setting’.

Melalui langkah-langkah ini, kerajaan bertekad memperkasakan kawalan sempadan dan memastikan hanya pengembara sah dibenarkan masuk ke negara ini.

“Kecekapan dan pemantauan adalah kunci memastikan pengurusan sempadan berjalan lancar dan bebas daripada rasuah,” kata Saifuddin.

Anda Mungkin Berminat