Wilayah Tengah Jadi Tumpuan Baharu, Tarik Pelaburan

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Kerajaan MADANI kini memberi fokus kepada pembangunan kluster industri khusus dalam sektor pembuatan di Wilayah Tengah, meliputi Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) ke-7 Tahun 2024 menegaskan bahawa kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu diperkukuh bagi mempromosikan Wilayah Tengah secara bersama.

“Ini penting dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi ke kawasan-kawasan tumpuan di setiap negeri, mempercepatkan pelaksanaan projek sekaligus menambahbaik ‘ease of doing business’ dengan pengurangan karenah birokrasi,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mesyuarat MPN juga bersetuju untuk meneruskan inisiatif uji kaji peraturan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi memastikan produktiviti dan kecekapan dalam penyampaian peraturan di semua peringkat kerajaan dapat ditingkatkan.

Usaha tersebut dilihat mampu memudahkan proses perniagaan dan mempercepatkan projek melalui pendekatan proaktif.

Menurut Anwar, inisiatif itu perlu diteruskan dan juga diperluaskan berdasarkan kecemerlangan yang ditunjukkan terutamanya dalam penjimatan masa dan kos.

Selain itu, pendekatan Industrial Green Lane yang telah berjaya dilaksanakan di Kulai, Johor dan Kulim, Kedah akan dijadikan rujukan bagi mempercepatkan pengeluaran permit pembinaan dan pengurusan tanah di Wilayah Tengah.

Langkah tersebut bukan sahaja bertujuan menarik lebih banyak pelaburan tetapi juga meningkatkan hasil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sekali gus mengukuhkan ekonomi tempatan dan memperkasakan sektor perindustrian di Malaysia.

Anda Mungkin Berminat