Belanjawan 2025: Langkaui KDNK, utama kesejahteraan rakyat

Oleh: Firdaus Mohd

ULASAN | BELANJAWAN 2024 telah mencapai beberapa kejayaan penting, terutama dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dengan pertumbuhan KDNK yang memberangsangkan dan peningkatan peluang pekerjaan.

Namun dalam menilai kejayaan sesebuah negara, adakah angka KDNK sahaja cukup?

Adakah rakyat benar-benar merasai manfaatnya?

Pertumbuhan ekonomi semata-mata tidak mampu memberi gambaran yang menyeluruh tentang kesejahteraan rakyat.

Menjelang pengumuman belanjawan 2025, kerajaan berpeluang untuk memperluas fokus bukan hanya kepada angka KDNK, tetapi juga kepada kesejahteraan menyeluruh rakyat Malaysia.

KDNK hanyalah satu ukuran. Ia memberitahu kita berapa banyak ekonomi berkembang, tetapi tidak menunjukkan bagaimana kekayaan diagihkan, tahap kesejahteraan rakyat, atau kualiti hidup yang sebenar. Inilah sebabnya kerajaan perlu memperkenalkan ukuran yang lebih menyeluruh untuk menilai kejayaan negara dalam belanjawan 2025.

Mengapa KDNK Tidak Cukup?

KDNK mengukur aktiviti ekonomi, tetapi ia tidak mengambil kira kesejahteraan rakyat. Sebagai contoh, negara mungkin mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang pesat, tetapi jika majoriti rakyat bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi, akses kesihatan yang terhad, atau pendidikan yang tidak berkualiti, adakah itu benar-benar menunjukkan kejayaan?

Negara seperti New Zealand dan Bhutan telah memperkenalkan model yang lebih menyeluruh. Bhutan menggunakan Gross National Happiness (GNH), yang menilai kebahagiaan rakyatnya. New Zealand pula memperkenalkan Wellbeing Budget, yang mengutamakan kesihatan mental, pengurangan kemiskinan, dan alam sekitar.

Mengatasi jurang ekonomi yang masih luas.

KDNK tidak mengambil kira jurang antara kaya dan miskin. Walaupun ekonomi berkembang, jurang ini boleh semakin melebar, menyebabkan golongan berpendapatan rendah terus terpinggir. Kejayaan belanjawan 2024 dalam meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan patut dipuji, tetapi jurang antara golongan kaya dan miskin masih nyata.

Walaupun bantuan kepada B40 telah ditingkatkan, usaha lebih serius diperlukan untuk menangani ketaksamaan ekonomi yang berterusan. Malaysia boleh memperkenalkan Indeks Ketaksamaan Ekonomi. Indeks ini akan menilai sejauh mana belanjawan berjaya mengurangkan jurang antara kaya dan miskin, serta bagaimana kekayaan negara diagihkan secara adil.

Dengan indeks ini, kerajaan dapat memastikan bahawa manfaat ekonomi dirasai oleh semua lapisan masyarakat, bukan hanya golongan atasan.

Penulis juga merupakan Pemerhati politik tanah air.

Baca juga: