Kedai Jual Telur Masin Berulat Diarah Tutup

Oleh: Hanim Nadia

ALOR SETAR: Sebuah premis makanan di Sungai Petani yang tular kerana dipercayai menjual telur masin berulat, diarah ditutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah.

Pengarahnya, Dr Ismuni Bohari berkata, arahan dikeluarkan selepas menjalankan siasatan lanjut susulan aduan diterima menerusi akaun Facebook Penduduk Sungai Petani pada 15 Oktober lalu.

Katanya, aduan berkaitan penemuan ulat dalam telur masin dibuat seorang pelanggan premis berkenaan.

“Pengesahan aduan dilakukan dengan pengadu berkenaan susulan kes yang tular di media sosial.

“Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda menjalankan siasatan lanjut semalam dan mendapati premis berkenaan gagal mematuhi keperluan kebersihan premis makanan mengikut Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 Akta Makanan 1983,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dr Ismuni berkata, notis kompaun dikeluarkan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 bersama Perintah Penutupan Premis di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

“Pemeriksaan semula akan dijalankan selepas pemilik premis mematuhi semua arahan pembersihan dan tindakan pembetulan diarahkan PKD Kuala Muda.

“JKN Kedah akan terus memantau dan memastikan premis makanan mematuhi Peraturan-peraturan Makanan mengikut Akta Makanan 1983 bagi mengelak kejadian berulang,” katanya.

Terdahulu, sebuah premis nasi kandar tular susulan rakaman video dimuat naik pelanggan yang mendakwa menemui ulat dalam telur masin.

Video itu dimuat naik di Facebook oleh pelanggan wanita yang mengunjungi premis berkenaan bersama rakannya.