Oleh: Haikal Tajuddin
PARLIMEN: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan penghantaran pasukan pengaman Malbatt 850-11 untuk membantu masyarakat di Lubnan yang terkesan oleh kekejaman Israel.
Katanya, pasukan itu terdiri daripada 850 anggota dan pegawai, termasuk 29 anggota bersenjata dari Brunei, sebagai sebahagian daripada aturan baharu yang bermula pada 14 November 2023 hingga 2024.
Menurut beliau, pasukan itu memainkan peranan penting dalam memastikan pengunduran Israel Defence Force (IDF) dari Lubnan, memperoleh keamanan dan keselamatan antarabangsa, serta memberikan bantuan keselamatan kepada pemerintahan di negara tersebut.
“Penggiliran atur baharu ini melibatkan 850 anggota dan pegawai yang dikenali sebagai Malbatt 850-11, termasuk 29 anggota bersenjata dari Brunei.
“Mereka melaksanakan mandat di bawah Majlis Keselamatan PBB di bawah Resolusi 425 dan 426,” kata Khaled Nordin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz mengenai peperangan yang berlaku di Lubnan melibatkan tentera Israel.
Beliau berkata, keadaan keselamatan anggota Malbatt 850-11 di Lubnan masih terkawal sepanjang tempoh peperangan di Hizbullah.
Pasukan itu turut diarahkan untuk tidak melakukan sebarang rondaan mahupun pergerakan logistik dan perlu kekal di tempat masing-masing.
“Berdasarkan laporan yang diterima, keadaan semasa anggota pasukan Malbatt 850-11 di Lubnan masih dalam terkawal.
“Tiada kemalangan jiwa atau kerosakan aset berlaku sepanjang tempoh perang di Hizbullah. Kesemua pasukan di bawah pasukan Interim PBB diarahkan untuk tidak melakukan operasi rondaan atau pergerakan logistik dan kekal di penempatan masing-masing,” katanya.
Tambahnya, pemantauan terhadap anggota pasukan Malbatt 850-11 diteruskan dengan sentiasa mengemaskini perkembangan mereka sejajar dengan kenyataan media yang dikeluarkan pada 14 Oktober lalu.