Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Sistem syif doktor bertugas lebih masa selepas waktu pejabat (on-call) yang melebihi 30 jam memerlukan satu pembaharuan yang mendesak bagi mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sihat untuk para doktor, sekali gus meningkatkan keselamatan pesakit.
Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon mendakwa, syif tersebut bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan profesional kesihatan tetapi turut memberi risiko besar kepada penjagaan pesakit.
“Apabila para doktor dan pekerja kesihatan mengalami keletihan, keupayaan mereka untuk mendiagnosis dengan tepat dan melakukan pembedahan dengan selamat boleh dipersoalkan, yang secara langsung menjejaskan kualiti rawatan terhadap pesakit,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Selain itu, katanya, tekanan yang semakin meningkat yang dialami doktor, yang diburukkan lagi dengan imbuhan tidak mencukupi dan kekurangan kakitangan, menyebabkan peningkatan yang membimbangkan dalam masalah kesihatan mental termasuk kemurungan.
“Cabaran-cabaran ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan doktor, tetapi turut mengurangkan masa mereka untuk bersama keluarga, tiada keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi, kepuasan kerja yang merosot selain turut menyumbang kepada potensi penghijrahan tenaga pakar dalam sektor kesihatan,” katanya.
Dalam pada itu, Hang Soon berpandangan, waktu ideal untuk syif ‘on-call’ bagi doktor seharusnya tidak melebihi 12 hingga 16 jam, meskipun kumpulan doktor sebelum ini ada menuntut supaya syif ‘on-call’ maksimum sekurang-kurangnya tidak melebihi 24 jam.
Jelas beliau, perubahan itu dapat memastikan doktor mendapat rehat yang mencukupi dan mampu memberikan penjagaan terbaik serta memberikan diagnosis dan rawatan yang paling tepat tanpa menjejaskan kesihatan mereka.
“Sistem syif juga mungkin menjadi penyelesaian yang lebih cekap yang disokong dengan penambahan tenaga kerja untuk memenuhi tuntutan penjagaan pesakit dengan lebih berkesan.
“Justeru, kami menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memberi perhatian terhadap isu ini bagi mewujudkan sistem penjagaan kesihatan yang lebih berperikemanusiaan dan mampan yang memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya.
Tambah beliau, Belanjawan 2025 yang akan diumumkan esok juga, diharapkan dapat memberi keutamaan kepada penambahbaikan imbuhan untuk doktor kerajaan.
Ia katanya, termasuk menangani pengagihan sumber kesihatan yang tidak seimbang serta menaik taraf peralatan perubatan di fasiliti kesihatan kerajaan.
“Tenaga kerja yang dibayar dengan setimpal, mempunyai kakitangan mencukupi dan mempunyai akses kepada peralatan perubatan yang moden adalah penting untuk memastikan semua pesakit menerima perkhidmatan penjagaan berkualiti tinggi yang selayaknya buat mereka,” katanya.
Baca juga: