Oleh: Hanim Nadia
PARLIMEN | Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan Orang Asli dan masyarakat Bumiputera di Sabah dan Sarawak tidak terkesan dengan cadangan pindangan Perlembagaan Kewarganegaraan ini.
Beliau menjelaskan perkara itu susulan kebimbangan yang dibangkitkan sejumlah pihak.
Katanya, status mereka sebagai warga Malaysia berdasarkan undang-undang dijamin di bawah Perkara 161 Perlembagaan Persekutuan, tertakluk kepada dokumen yang diperlukan oleh undang-undang itu.
“Pada masa ini, Jadual Kedua Bahagian II menyatakan individu yang lahir di Malaysia dan salah seorang ibu atau bapanya adalah warga Malaysia, atau individu yang “bermastautin secara tetap” di Malaysia secara automatik mendapat status kewarganegaraan.
“Cadangan pindaan Perlembagaan ini bertujuan membuang istilah “bermastautin secara tetap”, agar individu yang lahir di bawah keadaan itu perlu mendaftar untuk kewarganegaraan,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.
Sementara itu, Saifuddin mengulas bahawa warga asing yang berkahwin dengan rakyat tempatan dan sudah melepaskan status kerakyatan asalnya, tidak akan berdepan risiko dilucut kewarganegaraan Malaysia, jika bercerai kurang dari dua tahun dari tempoh permohonan berkenaan diluluskan.
Katanya,ini kerana individu terbabit dilindungi kaveat mengenai pelucutan kewarganegaraan sedia ada yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kaveat berkenaan termaktub dalam Perkara 26B(2), iaitu tiada individu boleh dilucutkan kewarganegaraan di bawah Perkara 25 perenggan (b) Fasal (1) Perkara 26, atau Perkara 26A jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa akibat daripada pelucutan itu dia tidak akan menjadi warganegara mana-mana negara.
“Maksudnya individu yang dipertimbangkan untuk pelucutan kewarganegaraan, dalam fasal Perlembagaan ada satu peruntukan lagi menyebut, jika mereka tidak memiliki apa-apa kerakyatan, maka ia tidak boleh dilakukan,” katanya.
Beliau mengulas kebimbangan pelbagai pihak termasuk aktivis mengenai risiko wanita warga asing yang berkahwin rakyat tempatan tidak memiliki mana-mana kerakyatan, jika bercerai kurang dua tahun selepas mendapat kewarganegaraan Malaysia.
Kebimbangan itu timbul susulan cadangan pindaan Perkara 26(2) Perlembagaan yang akan menukarkan perkataan ‘dalam tempoh dua tahun mulai tarikh perkahwinan’ kepada ‘dalam tempoh dua tahun selepas mendapat kewarganegaraan’.
Memperincikan rasional pindaan itu, Saifuddin berkata, ia dibuat kerana tidak akan berlaku sama sekali bagi wanita warga asing mendapat kewarganegaraan selepas dua tahun berkahwin dengan rakyat tempatan.
“Ini kerana, prosesnya ialah lima tahun selepas wanita warga asing berkahwin dengan rakyat tempatan akan mendapat visa pasangan, diikuti permit masuk pada tahun keenam dan dokumen ini perlu dipegang selama dua tahun.
“Mereka hanya boleh memohon kewarganegaraan selepas tahun kelapan berkahwin dengan rakyat tempatan.
“Jika proses mendapatkan kerakyatan pun mengambil tempoh selama lapan tahun, maka wajar peruntukan asal dipinda kepada dua tahun selepas mendapat kewarganegaraan,” katanya.