Perlindungan kanak-kanak GISBH diberi keutamaan – KPWKM

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited melindungi kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal kendalian Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) melalui Op Global.

Menerusi operasi yang dijalankan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), perlindungan diberikan berlandaskan peruntukan Seksyen 8 dan Seksyen 17(1)(d) Akta Kanak-Kanak (Akta 611) bagi memastikan kesejahteraan kanak-kanak terbabit.

Menurut kenyataan KPWKM, seramai 560 kanak-kanak yang terdiri daripada 283 lelaki dan 277 perempuan telah ditempatkan di lokasi selamat dengan perintah jagaan sementara daripada mahkamah.

Perlindungan ini adalah langkah sementara sehingga aspek kebajikan setiap kanak-kanak dapat dinilai sepenuhnya.

“Kementerian memandang serius kes ini dan siasatan dalaman sedang dijalankan bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil.

“Matlamat utama kami adalah memastikan mereka kembali ke pangkuan keluarga setelah keadaan sesuai,” kata kenyataan tersebut.

Op Global, operasi menyeluruh yang melibatkan 83 premis kendalian GISBH di seluruh negara, telah dimulakan sejak 11 September 2024.

Operasi ini melibatkan kerjasama erat antara JKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyelamatkan kanak-kanak yang memerlukan perlindungan.

Op Global turut mendapat perhatian awam berikutan rakaman tular pertemuan Pelindung Kanak-Kanak dengan ibu atau bapa kanak-kanak kes GISBH pada 9 Oktober lalu.

Dengan usaha ini, KPWKM berharap dapat merancakkan lagi perlindungan dan pemulihan kanak-kanak terlibat, memastikan mereka mendapat hak dan perlindungan yang sewajarnya.