PARLIMEN | Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) tidak akan dikenakan ke atas barangan makanan asas yang digunakan oleh rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, penambahbaikan SST akan dilakukan dengan lebih progresif dan tidak membebankan rakyat.
Jelasnya, cukai jualan hanya akan dikenakan ke atas barangan bukan keperluan asas orang awam seperti barangan premium yang diimport.
“Cukai jualan tidak akan dikenakan ke atas barangan makan asas rakyat. Namun ia akan dikenakan ke atas barangan premium yang diimport seperti salmon dan avokado,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Pembentangan Belanjawan 2025 di Parlimen pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, skop cukai perkhidmatan akan diperluas meliputi perkhidmatan komersial antaranya perniagaan seperti perkhidmatan kewangan berasaskan fi.
“Bagi memastikan kelangsungan perniagaan, Kerajaan akan melaksanakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan serta industri berkaitan sebelum memuktamadkan skop peluasan dan kadar cukai yang dikenakan.
“Peluasan skop SST secara progresif akan dilaksanakan berkuat kuasa 1 Mei 2025,” katanya.
Anwar menegaskan bahawa sebahagian hasil akan dimanfaat untuk menambah baik bantuan tunai kepada rakyat terbanyak selain meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan dan kesihatan.