Belanjawan 2025: Penyasaran subsidi RON95 mulai pertengahan tahun depan

Oleh: Shafira Aziz

PARLIMEN: Kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 menjelang pertengahan tahun 2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa langkah itu bertujuan untuk mengurangkan pembaziran subsidi dan menyalurkannya ke arah kesejahteraan rakyat.

“Penjimatan yang dicapai daripada ini akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak,” kata Anwar.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut memaklumkan bahawa golongan warga asing dan 15 peratus pengguna golongan kaya-raya (maha kaya) kini menikmati 40 peratus subsidi RON95, melibatkan kos RM8 bilion.

“Dana RM8 bilion ini lebih baik dimanfaatkan bagi peningkatan kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam,” tambahnya.

Sehingga kini, harga RON95 di Malaysia kekal pada RM2.05, jauh lebih rendah berbanding Thailand (RM5.85), Indonesia (RM3.38), Singapura (RM9.02) dan Arab Saudi (RM2.66).

Anwar menegaskan bahawa subsidi berjumlah RM12 bilion akan terus disalurkan bagi memastikan 85 peratus rakyat tidak terkesan melalui pendekatan yang sama seperti subsidi elektrik.

Beliau juga memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus komited dalam melindungi keperluan rakyat majoriti dengan memastikan langkah penyusunan ini berjalan lancar dan efektif.

Beliau berkata demikian dalam Pembentangan Belanjawan 2025 di Parlimen pada Jumaat.

Belanjawan 2025 memberi fokus kepada tiga aspek iaitu “Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat”.

Ini adalah belanjawan ketiga oleh Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.

Anda Mungkin Berminat