Oleh: Hanim Nadia
PARLIMEN: Kerajaan bersetuju memberikan tambang percuma kepada semua mahasiswa universiti, politeknik, kolej komuniti dan matrikulasi di seluruh negara yang menggunakan perkhidmatan BAS.MY
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pas Bulanan My50 juga diteruskan bagi manfaat 180,000 pengguna Lembah Klang menggunakan bas dan rel Prasarana.
Selain itu, perkhidmatan bas henti-henti terus disokong dengan peruntukan lebih RM270 juta dan setiap bandar utama di semua negeri akan dipastikan dapat menerima manfaat.
“Prasarana juga akan menyediakan kemudahan van untuk anak-anak ke sekolah daripada stesen tren terpilih dengan bayaran 50 sen sehala.
“Sebagai permulaan, stesen yang terlibat ialah di LRT Sri Rampai dan LRT Melati,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Dalam pada itu, kerajaan akan terus memastikan sistem pengangkutan awam yang cekap, berpatutan dan selesa untuk manfaat semua rakyat.
Justeru itu, kata Anwar, perkhidmatan Udara Luar Bandar Sabah Sarawak diteruskan dengan peruntukan lebih RM200 juta.
“Ini termasuk membuka laluan baharu dari Kota Kinabalu ke Layang-layang dan Miri ke Long Banga.
“Prasarana pula telah membuat perolehan 250 bas elektrik tahun ini. Kementerian Pengangkutan juga telah memulakan perolehan 12 gerabak tren penumpang Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi keselesaan penumpang.
“Manakala 50 gerabak tren lagi akan diperoleh secara pajakan melalui kerjasama kerajaan dengan negara China,” ujarnya.