Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Mana-mana pihak tidak mematuhi peraturan halal akan dikenakan tindakan tegas susulan pindaan terkini Jadual Kedua di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Ia termasuk denda maksimum RM500,000 bagi syarikat dan hukuman penjara hingga lima tahun bagi individu yang berulang kali melakukan kesalahan.
Usaha tersebut melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang memperkukuh usaha penguatkuasaan halal.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata ia susulan jumlah keseluruhan badan pensijilan halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) kini mencecah 88 badan dari 49 negara di seluruh dunia merangkumi penambahan satu badan pensijilan dari Brazil, Mongolia dan Uruguay, serta dua dari Rusia.
“Langkah ini bertujuan memastikan industri halal negara kekal diyakini, selain melindungi kepentingan pengguna, terutamanya umat Islam,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, sebanyak 53 kes berkaitan halal telah dikesan dengan nilai rampasan berjumlah RM1.81 juta direkodkan sehingga 30 September lalu.
Antara kesalahan utama termasuk penggunaan logo halal palsu dan kegagalan mendapatkan perakuan daripada pihak berkuasa.
“KPDN akan terus memastikan setiap pihak mematuhi undang-undang untuk memperkasakan perundangan dan meningkatkan keyakinan pengguna,” tambahnya.