Fadhlina bertemu Dong Zong, Jiao Zong bincang isu pendidikan

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Demi masa depan anak Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneliti beberapa isu berbangkit melibatkan guru dan kurikulum.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, isu-isu tersebut termasuk penempatan semula guru, penyelarasan kurikulum Bahasa Melayu untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, kekurangan guru, perpindahan sekolah dan isu guru ganti bersama dengan cadangan penyelesaiannya.

“Saya telah berjumpa dengan pimpinan tertinggi dua pertubuhan pendidikan bahasa Cina, kelmarin. Perwakilan Dong Zong (Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia) diketuai Pengerusinya, Datuk Tan Yew Sing, dan Jiao Zong (Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia), diketuai Pengerusinya, saudara Cheah Lek Aee.

“Sebagai Menteri Pendidikan untuk semua anak Malaysia, saya mengambil pendirian untuk berdialog dan terus terlibat agar jalan penyelesaian dipertemukan setelah perbezaan dirungkaikan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Tambahnya, perbincangan tersebut berjalan lancar dan tenang jikapun ada pandangan yang berbeza.

“Saya bertambah yakin bahawa masyarakat Malaysia semakin matang untuk merungkaikan perbezaan pandangan, tanpa perlu menghasut sentimen dan melaga-lagakan hubungan kaum,” katanya lagi.