Oleh: Kamilia Ali
PARLIMEN | Kadar maksimum Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dinaikkan kepada RM4,600 berbanding RM3,700 sebelum ini.
Selain itu, kadar minimum STR bagi golongan belia juga meningkat daripada RM500 kepada RM600.
“Pada kesempatan ini, saya ingin umumkan bahawa bayaran bagi STR 2024 Fasa 4 akan disalurkan kepada penerima bermula 7 November depan melibatkan peruntukan RM1.7 bilion,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen, hari ini.
Pemberian STR untuk tahun 2025 akan memberi peningkatan tertinggi bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) iaitu kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion sebelum ini.
“Peningkatan ini terus memberi manfaat kepada 9 juta penerima atau bersamaan 60 peratus penduduk dewasa negara.
“Kita akui dan mendengar rungutan tentang kos sara hidup dan kita mengambil langkah serta kebijakan ekonomi yang merupakan peningkatan peruntukan dan kadar maksimum bantuan tunai yang tertinggi pernah diberikan Kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat,” ujarnya.
Belanjawan 2025 memberi fokus kepada tiga aspek iaitu “Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat”.
Ini adalah belanjawan ketiga oleh Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.