Kematian Yahya Sinwar, Biden ucap tahniah Netanyahu

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang membawa pulang tebusan kepada keluarga mereka dan telah ‘menamatkan’ hayat pemimpin Hamas, Yahya Sinwar.

Beliau berkata ini peluang terbaik untuk menamatkan perang ini buat selama-lamanya, kerana White House mendakwa Yahya Sinwar dalang serangan Hamas pada 7 Oktober tahun lalu ke atas Israel.

“Kini terdapat peluang untuk ‘hari selepas’ di Gaza tanpa Hamas berkuasa, dan untuk penyelesaian politik yang menyediakan masa depan yang lebih baik untuk Israel dan Palestin. 

“Yahya Sinwar adalah halangan yang tidak dapat diatasi untuk mencapai semua matlamat tersebut. Halangan itu tidak lagi wujud. Tetapi banyak kerja masih ada di hadapan kita,” katanya.

Sementara itu, bekas timbalan pegawai perisikan negara AS, Jonathan Panikoff berkata Biden dijangka menggunakan pembunuhan Yahya Sinwar untuk menekanNetanyahu bagi menghentikan perang di Gaza.

Bagaimanapun, dalam bulan-bulan terakhir pentadbirannya, presiden AS itu mungkin tidak mempunyai pengaruh untuk ‘mengarahkan’ pemimpin Israel itu patuh kepadanya.

“Kematian Sinwar akan memberi peluang baharu kepada Presiden Biden untuk mendesak lagi fasa pertama perjanjian gencatan senjata dilaksanakan dan ia akan meningkatkan tekanan ke atas Netanyahu untuk berbuat demikian.

“Sama ada perjanjian boleh dicapai untuk pemberhentian permusuhan akan bergantung kepada pemimpin baru Hamas – dan pada kesediaan Netanyahu untuk akhirnya mengisytiharkan kemenangan dan membuat perjanjian,” katanya lagi.

Namun, dalam masa sama, Biden mungkin bergelut untuk menggesa Netanyahu bagi mematuhi permintaannya menjelang pemilihan presiden AS 5 November nanti.

Sumber mendakwa Netanyahu mungkin lebih suka menunggu Biden tamat penggal pada Januari tahun depan dan mengambil peluang bersama presiden seterusnya, sama ada calon Demokrat, Kamala Harris, atau saingannya Republikan Donald Trump.

Semalam, Tentera IDF (Angkatan Pertahanan Israel) mendakwa Yahya Sinwar terbunuh dalam pertempuran selepas dikesan “pergi dari rumah ke rumah” dalam usaha mengelak dikesan di selatan Gaza.